Rabu, 16 November 2016

Bomoh Oh Bomoh 2

      Rasanya tak kurang daripada 20 orang lelaki termasuk aku dan majoritinya Melayu, duduk menghadap  ke arah penjual ubat. Ralit mendengar celoteh lelaki separuh abad berpakaian seperti seorang guru silat. Lenguh duduk mencangkung, aku duduk bersila di atas tanah. Barulah perasan, bukan menjual ubat rupanya, Sebabpun tak nampak ubat atau barang yang dijual. Rupa-rupanya dia mempamerkan kebolehannya yang agak luar biasa. Sambil melaungkan ayat serapah yang tak ku fahami, lelaki Melayu berbadan gempal itu berdiri seperti mahu membuka langkah silat. Tiba-tiba badannya yang tak berbaju mengeluarkan peluh berwarna merah. Darah katanya. Ya jelas kelihatan lelaki itu berpeluhkan darah. Para penonton terdiam kaget dan memandang tanpa berkelip mata. Kehairanan dan rasa takjub. Sejurus kemudian, lelaki itu meneruskan laungan serapahnya sambil menunjukkan jarinya ke arah seketul batu besar yang berada di sebelah kanannya. Tiba-tiba batu tersebut kelihatan terangkat dan terapung lebih kurang sejengkal di udara.  Menambahkan rasa takjub kami. Silap mata ke apa ni?  Batu tu terus terapung. Dalam hati aku terdetik ...mungkin dia ni bomoh yang handal. Orang ramai yang lalu lalang antara Pudu Raya ke Kompleks Kota Raya terhenti untuk seketika melihat gelagat bomoh handal yang sedang memeperagakan kebolehan luarbiasanya. Bomoh itu mendakwa dia boleh memberi tuah kepada sesiapa yang berhajat...sambil mengeluarkan beberapa bungkusan kecil..." Ini azimat yang dapat memenuhi apa saja hajat tuan-tuan sekalian!. Kalau tuan-tuan nak duit banyak, simpan saja azimat ni dalam dompet ....nanti tuan-tuan akan dapat banyak duit!. Kalau tuan-tuan nak minta bos atau orang atasan tuan-tuan suka pada tuan-tuan, ambil azimat ni. Simpan dalam poket, bawa pergi kerja hari-hari. Pasti bos akan suka selepas ni. Bulan lepas ada seorang cina datang jumpa saya minta azimat. Beberapa hari kemudian, cina tu datang jumpa saya ucap terima kasih kerana dia baru menang loteri. Siapa yang berhajat kepada azimat ni? Tak banyak dah yang tinggal. Siapa cepat dia dapat!". Hampir separuh daripada penonton menngangkat tangan.

    "Oh ramai yang nak...tapi saya ada tak banyak...saya tak jual...saya bagi free saja. Siapa yang betul-betul berhajat?". Bila mendengar dapat free, makin ramai yang mengangkat tangan. "Okay lah...oleh kerana ramai yang berhajat, saya kena bagi syarat...kalau tuan-tuan setuju dan sanggup, saya bagi free...setuju?".  "Setujuuuu....". "Syaratnya mudah saja. Tuan-tuan kena ikhlas... Betul-betul ikhlas!! ". Orang ramai makin tak sabar untuk mengetahui syaratnya. "Sesiapa yang sanggup serahkan semua sekali duit yang ada dalam dompet dia sekarang dengan ikhlas, saya akan bagi azimat ini.".  Lantas, tampil seorang lelaki Melayu dalam usia 30-an. "Datang ke sini!",  "Cuba buka dompet kamu". Lelaki tu keluarkan dompet dari saku seluar dan serah kepada bomoh. Bomoh tu membuka dompet dan mengeluarkan duit sambil mengangkatnya untuk menunjukkan kepada orang ramai. "Ada seratus lima puluh ringgit semuanya. Adakah awak ikhlas nak bagi semua duit ni kepada saya?". "Ya!".  Bomoh tu lalu  berbisik sesuatu di telinga lelaki tersebut, sambil meletakkan kesemua duit lelaki itu ke atas tikar. Dompet kosong tanpa duit diserahkan kembali kepada lelaki tersebut beserta satu azimat. Lelaki tersebut terus berlalu pergi tanpa berpaling ke belakang lagi dan hilang dari pandangan.  Tampil pula lelaki kedua. Kali ini berbangsa India dalam lingkungan usia pertengahan 40-an. Sebaik menyerahkan kesemua wang dari dompetnya dan menerima azimat dari bomoh, lelaki India itu berlalu pergi. Seperti juga lelaki Melayu yang awal tadi, lelaki India itu terus berlalu pergi tanpa sepatah perkataan. Rasanya dah dekat sepuluh orang menerima azimat daripada bomoh tu. Hati aku berdebar-debar sambil berfikir...terdetik..tak nak ke aku cuba juga? Tapi kalau aku bagi semua duit tu kat dia, pokailah aku...nanti nak tambang teksi dari Stesen Keretapi Taiping balik ke Kemunting macamana?.  Aku berundur ke belakang. Aku buka dompet..belek-belek kepingan duit. Ada seratus dua puluh. Aku keluarkan seratus..masukkan dalam poket kecil seluar. Tinggal 20 ringgit saja dalam dompet. "Okay..tuan-tuan..tinggal satu saja lagi azimat ni. Siapa yang berhajat lagi?". Secepat kilat aku meluru ke depan. Aku perasan ada 2 atau 3 orang yang juga meluru ke depan. Tetapi oleh kerana aku lebih pantas, jadi akulah yang dapat. Seperti beberapa orang sebelum ni, aku serahkan dompet kepada bomoh. Dia belek-belek. Mukanya langsung tak senyum. Barangkali agak kecewa sebab dompet aku paling sikit isinya. Hanya 20 ringgit. Yang lain sebelum ni semuanya lebih seratus. Sambil menarik duit 20 ringgit dari dompetku, bomoh tu bisikkan pada telinga aku seperti yang dilakukan kepada orang-orang sebelum aku. Dengan suara yang amat perlahan, bomoh berbisik kepada aku. "Nah ambil azimat ini. Genggam kuat-kuat, terus tinggalkan tempat ini dengan segera! Jangan berpaling ke belakang lagi...tak boleh datang lagi!!".  Segera terlintas di hatiku. "Cis ni rupanya!!".  Tipah Tertipu!!!!

   Sebaik menduduki kerusi di dalam bas ekspress KL - Taiping, aku putarkan kembali memori kejadian sebentar tadi. Tersenyum sendirian. Mujurlah aku dah sorokkan seratus ringgit. Kalau tidak pokai habislah aku. Macamanalah nasib orang-orang sebelum aku tadi? Keesokannya aku buka balutan azimat hadiah dari bomoh penipu. Kain kuning membaluti kertas putih kosong!!!!

Selasa, 25 Oktober 2016

Bomoh Oh Bomoh

Sejak zaman kanak-kanak lagi aku diperdengarkan tentang kebolehan seseorang yang digelar bomoh. Era 60-an dan 70-an, terutamanya dalam masyarakat desa, peranan bomoh dianggap penting. Khidmat bomoh sering ditagih atau dicari untuk mengubati sebarang penyakit, terutamanya penyakit yang dianggap pelik dan tidak mampu diubati dengan kaedah moden. Sesatunya kaedah perubatan moden dan saintifik yang ada di kampung Ibok pada masa tersebut adalah lawatan seminggu sekali klinik bergerak. Pembantu Perubatan atau "dresser" atau di kalangan orang kampung popular dengan panggilan "dresar" akan mengunjungi kampung untuk memberikan perkhidmatan kesihatan. Pastinya kelibat Raja Mohamaed Nor (Raja Mat Nor), dresar dinantikan pada setiap minggu. Berderet orang-orang Ibok menanti di depan Balai Raya Ibok. Raja Mat Nor umpama seorang doktor. Pengalaman dan layanannya disukai oleh penduduk. Khidmat baktinya bertahun-tahun membuatkan Raja Mat Nor sangat disenangi. Namun demikian, tidak semua orang sukakan Raja Mat Nor, terutamanya di kalangan kanak-kanak, termasuklah aku. Kedatangan Raja Mat Nor menimbulkan ketakutan dan keresahan. Bila tau hari tu Raja Mat Nor akan datang ke Ibok, kebanyakan budak-budak jadi sihat. Tak ada yang mengaku sakit. Kadang-kadang tak dapat lepaskan diri juga. Kalau dah sakit tu tak boleh nak pura-pura sihat. Jadi terpaksalah mak ayah bawa jumpa Raja Mat Nor di Balai Raya Ibok. Nampak kelibat van volkswagon putih dah naik gementar. Dengan wajah kepucatan dan ketakutan terpaksa berhadapan dengan Raja Mat Nor. Bila Raja Mat Nor sebut kena cucuk sejarum terus meraung. Terpaksalah pembantu Raja Mat Nor pegang saat jarum nak dicucuk pada badan. Apa lagi meraunglah kesakitan. Lain kali bila tau Raja Mat Nor  dah nak sampai, geng-geng kami akan menyusup lari ke kebun getah Pak Harun menantu Tok Munah. Terlepaslah kena cucukan jarum Raja Mat Nor. Kadang-kadang pelanduk lupakan jerat. terlupa pula hari tu adalah giliran Raja Mat Nor datang bertandang. Kena mengadap dia lagi...sejarum lagi sebagai habuan.

Walaupun Raja Mat Nor hampir setiap minggu muncul di Balai Raya Ibok untuk memberikan rawatan kesihatan, namun ada sebahagian penduduk yang tak pedulikannya. Bukan semua penyakit mampu diubati dengan suntikan jarum Raja Mat Nor. Kepercayaan terhadap kebolehan bomoh masih menebal di kalangan penduduk. Pada zaman tersebut antara bomoh yang popular di Ibok, seingat aku adalah Tok Deraman, Pak Man Liah, Pak Lebai Semail dan Tokki Sulaiman. Kesemua mereka tu dikatakan ada kelebihan masing-masing. Tokki Sulaiman ni lebih kepada berubat menggunakan bacaan ayat suci Quran. Kalau ada orang datang berhajat ke rumahnya, dia akan bacakan beberapa potong ayat dan hembuskan pada air. Dia suruh minum atau campurkan dengan air mandi. Setahu aku dia tak pernah main hantu setan sebagai cara perbomohannya. Sesiapa yang serasi dengan cara Tokki Sulaiman, derngan izin Allah akan sembuh dalam sehari dua. Manakala Tok Deraman pula, aku dengar dia ada pakai hantu untuk berbomoh. Orang yang ada masalah berkaitan hubungan cinta misalnya, pasti akan menemuinya untuk meminta bantuan. Aku tak pasti sangat. Yang jelas, melihat wajahnya mirip Mat Kilau tapi agak menyeramkan. Bulu keningnya yang beruban panjang melentik. Jarang pakai baju, hanya berkain paras lutut dan sehelai pelikat atas bahu. Aku dan kawan-kawan pernah sekali mendapatkan khidmat Tok Deraman masa nak lawan bola. Aku terdengar dia baca jampi. Dia bukan baca ayat Quran, tetapi ada sebut ayat-ayat yang pelik. Terbukti daun sireh dan halia bara hasil jampi Tok Deraman yang dibekalkan kepada kami tidak mujarab. Kami kalah teruk.
Bisik-bisik orang kampung juga aku dengar bahawa Tok Lebai Semail, yang berasal dari Kelantan pandai juga berubat orang. Dia selalu berubat orang yang kena sampuk atau dulu dipanggil "naik lupa". Diapun pakai jin atau hantu dengarnya. Tengok muka diapun aku rasa semacam saja seramnya.

Pengalaman hidup aku sendirilah...dua kali aku hadapi atau alami sendiri kisah berbomoh ni. Pengalaman yang aku rasa paling besar dan mengujakan juga. Pertama, sekitar tahun 1988. Masa tu aku dalam perjalanan balik habis bercuti dari Kemaman ke Taiping. Bas dari Kemaman sampai di Puduraya saja. Perjalanan seterusnya naik bas dari Kl ke Taiping. Malam tu, sementara menunggu waktu perjalanan bas, aku round-round dulu sekitar luar bangunan Puduraya.  Aku nampak ramai orang berkerumun di suatu kawasan lapang berdekatan tangga Puduraya menghala ke Stadium Merdeka. Akupun menghampiri tempat tersebut. Rupa-rupanya orang ramai berasak-asak dan berkerumun mengelilingi seorang lelaki Melayu yang sedang menjual ubat. Nampak menarik. Aku pun tumpang sekaki. Duduk bertimpuh untuk mendengar celoteh penjual ubat yang berpakaian serba hitam disinari cahaya lampu jalan yang agak suram.

To be continued.....

Cerita Cinta Bola 3

Apabila meneruskan pelajaran di tingkatan 1 di Sekolah Menengah Chukai (SMC), aku dan juga kebanyakan pelajar dari luar Chukai, tinggal di Asrama Putera. Semasa tinggal di asrama, aku bertemu dengan rakan-rakan sebaya yang datang dari beberapa sekolah rendah termasuk SK Air Putih, SK Binjai, SK Cerating dan lain-lain. Pada tahun 1977 hanya terdapat 4 buah sekolah menengah di daerah Kemaman. Selain SMC, adalah Sekolah Menengah Sultan Ismail atau lebih dikenali dengan SIS (Sultan Ismail School), Sekolah Menengah Agama Al-Falah dan Sekolah Menengah Kemasek. Kadangkala hujung minggu aku habiskan masa di asrama, kalau tidak dapat balik ke rumah. Mengisi masa yang terluang, kami penghuni asrama pasti turun ke padang bola SMC. Justeru, bakat bolasepak yang ada dapat terus dipupuk. Kali ini lebih seronok kerana ramai pemain yang sebaya dan berkebolehan, berbanding semasa di Ibok. Tak ramai rakan sebaya aku yang suka atau boleh bermain bola semasa aku di sekolah rendah dahulu. Jadi, terpaksalah aku bermain dengan orang dewasa atau budak-budak yang jauh lebih muda. Tak kisah sangatlah, asalkan dapat terus bermain bola. Semasa dalam tingkatan 1 hingga tingkatan 3 di SMC, aku mewakili pasukan rumah Bendahara dalam pertandingan bolasepak Antara Rumah. Rumah Bendahara kalah semua perlawanan. Rumah Temenggong, Laksamana dan Panglima dibarisi oleh ramai pemain-pemain yang berkebolehan, yang berasal dari SK Chukai, SK Bukit Pahang, SK Kuala Kemaman dan SK Binjai.

Dua tahun bertutur-turut, iaitu pada tahun 1978 dan 1979 aku mewakili SMC untuk tim Bawah 15 Tahun. Walau bagaimanapun, SMC gagal menjadi juara daerah Kemaman. Pada tahun 1980, semasa dalam tingkatan 4, aku mewakili tim Bawah 18 Tahun pula. Sekali lagi SMC kalah dalam perlawanan akhir selepas masa tambahan. Aku menjaringkan gol penyamaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan. Namun tidak bernasib baik, SIS berjaya mengalahkan SMC 2-1. Dalam tahun tersebut juga aku dipilih mewakili Daerah Kemaman yang menjadi tuan rumah Sukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST).  Walaupun menjadi tuan rumah, kami gagal melayakkan diri ke separuh akhir. Pada tahun 1980 itu juga, aku terpilih menyertai tim Ibok atau Tunas Muda ke kejohanan Piala DUN Kijal. Aku diberi tanggungjawab sebagai penjaga gol simpanan. Penyertaan sulung sebagai pemain Tunas Muda tercemar gara-gara kes pergaduhan besar antara pemain kedua-dua pasukan di tengah padang.

Walaupun tahun 1981 merupakan tahun yang getir bagi aku yang berada di tingkatan 5 dan akan menempuh peperiksaan SPM, namun kelibat aku dalam bolasepak tidak mampu dikendurkan. Aku berjaya membawa Bendahara menjuarai Bawah 18 Tahun. Aku juga berjaya membantu SMC menjuarai Bawah 18 Tahun Daerah Kemaman dengan menjadi penjaring utama ketika mengalahkan SIS 2-0 dalam perlawanan akhir di SM Kemasek. Sebelum tu aku berjaya mencipta hattrick ketika SMC menewaskan SM Kemasek 5-1 di gelanggang mereka. Perjuangan aku diteruskan dengan mewakili tim Daerah Kemaman ke peringkat MSST di Kuala Terengganu. Kesudahannya kami muncul sebagai naib Juara setelah ditewaskan oleh tim Kuala Terengganu Selatan 2-3.

Isnin, 24 Oktober 2016

Cerita Cinta Bola 2

Jersi kuning lengan panjang merupakan sesatunya jersi  yang digunakan oleh pasukan Ibok apabila bermain dalam setiap perlawanan persahabatan melawan pasukan jiran. Jersi tersebut dibeli hasil kutipan Persatuan Pemuda-Pemudi Setia Jaya Ibok. Pada masa tersebut aku masih di bangku sekolah rendah. Pada tahun 1975, ketika berada dalam Darjah 5, pasukan Sekolah Kebangsaan Ibok (SKI) mula menubuhkan sebuah pasukan bolasepak untuk menyertai pertandingan antara sekolah-sekolah rendah. Sebagai persiapan, perlawanan pertama secara persahabatan diadakan dengan melawan Sekolah Kebangsaan Binjai (SKB) di padang lawan. Aku turut terpilih sebagai pemain utama di bawah ketua pasukan, Ruzaidi Ibrahim. Pengalaman pertama lawan bola menimbulkan rasa gementar, apatah lagi bermain di tempat lawan. Seingat aku, pada masa tersebut, tiada sebarang bentuk latihan yang sistematik. Pasukan SKB terlalu handal buat kami yang mentah dan kekurangan dalam segala segi. Pasukan kami kecundang 1-5. Gol tunggal SKI dijaringkan oleh Nawawi. Tidak berapa lama kemudian, tibalah masanya kami menghadapi perlawanan sebenar Pertandingan Bolasepak Bawah Umur 12 Tahun. Dalam pertandingan secara kalah mati itu, SKI diundi bertemu Sekolah Kebangsaan Kijal (SKK) di tempat lawan. Pasukan SKK merupakan sebuah pasukan yang kuat dan berpengalaman menyertai pertandingan sejak beberapa tahun yang lepas. Pemergian pasukan SKI ke Padang Penunjuk, Kijal turut disertai puluhan kaki bola kampung Ibok. Perlawanan berakhir dengan SKI dikalahkan oleh SKK 0-2.

Apabila memasuki Darjah 6 pada tahun 1976, aku telah dipilih sebagai ketua pasukan SKI dalam pertandingan peringkat umur 12 tahun antara sekolah-sekolah rendah Daerah Kemaman, Zon Kemasek. Pertandingan kali ini dijalankan secara liga satu pusingan. Aku memakai jersi nombor 8. Dalam perlawanan pertama menentang SKK di tempat sendiri, kami tewas 1-2. Akulah yang menjaringkan gol tunggal SKI. Beberapa hari kemudian SKI sekali lagi menjadi tuan rumah. Pada kali ini kami berjaya mengalahkan pasukan pendatang baru, Sekolah Kebangsaan Air Jerneh (SKAJ) . SKI berjaya mencipta kemenangan 3-1. Aku berjaya menjaringkan dua gol dan satu gol lagi oleh Md.Nor Ali. Menantikan perlawanan terakhir menentang Sekolah Kebangsaan Kemasek merupakan detik yang menakutkan bagi pasukan-pasukan kerdil seperti SKI. Pada masa tersebut pasukan Kemasek terkenal kerana kekuatannya dan mampu meratah mana-mana pasukan dalam Daerah Kemaman. Sehinggakan nama ketua pasukannya, Nor Azman menjadi popular dan tersiar di dalam akhbar. Kami mendapat berita bahawa Kemasek telahpun membelasah pasukan SKAJ dengan jaringan 8-0 dan menjinakkan pasukan SKK 6-0. Kalau SKK yang mengalahkan kami dengan 2-1 dibelasah oleh Kemasek 0-6, bagaimana pula nasib kami nanti? Tambah gerun apabila menatap di dada akhbar tentang kehebatan Nor Azman yang telah menjaringkan 6 gol. Di kalangan kami, pemain SKI, memang berasa gentar dan memikirkan macamana untuk mengelakkan malu besar dibelasah. Tambahan pula bermain di Kemasek nanti. Entah macam mana timbul idea di kalangan kami untuk mendapatkan khidmat bomoh. Aku bersama beberapa orang rakanku berjalan kaki ke kampung Yakyah, menemui tokki tiri aku, Tok Deraman. Beliau terkenal sebagai bomoh kampung yang hebat dan mampu mengubati pelbagai penyakit atau masalah berkaitan tahyul. Kami ceritakan kepada Toak Deraman tentang hajat kami. Beliau lalu menggali seruas halia bara yang ada di belakang rumahnya. Tak silap aku rombongan kami selain aku adalah Mat Sidek, Mahusin dan Sanadi. Kami bersila mengadap Tok Deraman yang terkumat-kamit membaca serapah sambil memegang halia bara dan daun sireh. Dia  berpesan supaya sireh yang digulung dengan halia dimasukkan ke dalam poket seluar bola apabila berlawan nanti. Pada masa tersebut semua pemain peringkat umur 12 tahun berkaki ayam sahaja. Belum ada but yang digunakan. Petang itu,kami pulang dari kampung Yakyah dengan penuh senyuman dan keyakinan. Pasti azimat yang dibekalkan oleh Tok Deraman akan membuatkan pasukan Kemasek kecundang.

Tiba pada hari perlawanan di Kemasek, kami berasa lebih yakin walaupun mengakui hakikat bahawa Sekolah Kemasek terlalu kuat. Wisel ditiupkan menandakan perlawanan bermula. Nor Azman yang membuat sepak mula terus menendang dari jauh tepat ke muka Md Nor Ali. Tergamam seluruh pemain SKI melihat kegarangan Nor Azman. Bola sentiasa berada dalam kawasan gol SKI. Pemain pertahanan SKI tidak mampu menendang bola keluar dari kotak penalti. Penyerang-penyerang Kemasek silih berganti menyerbu. Dipendekkan cerita, gawang kami bolos enam kali. Aku dan kumpulan yang berusaha mendapatkan bantuan Tok Deramang hanya memandang kosong antara satu sama lain. Tak cukup handal ke Tok Deramang? Atau bomoh Kemasek lagi handal?


Ahad, 23 Oktober 2016

Sengsara di Cimahi 2

Seawal jam 5 pagi, pada tanggal 1 Sep 1995, aku telah bangkit dari katil double decker bergegas ke bilik air yang terletak di luar berek penginapan. Hanya beberapa meter saja terletaknya bangunan bilik mandi dan tandas, tetapi setiap siswa tetap diperlukan berpakaian lengkap untuk ke bilik air. Tak boleh hanya bertuala. Lecehnya. Masuk bilik air baru boleh bertuala sahaja. Hari pertama tu memang tak selesa kerana keedudukan tandas yang berdinding rendah serta jenis curah. Aliran air pula agak perlahan. Kalau orang sebelah menyebelah berdiri, masing-masing boleh nampak antara satu sama lain. Nak mandi kena masuk bilik air besar yang menggunakan kolah. Mandi ramai-ramai. Dari awal pagi gegendang telingaku rasa sakit semacam je kerana dihidangkan dengan loghat dan bahasa yang asing bagiku selama ini. Kalau bahasa Indonesia standard tu biasalah aku dengar melalui TV atau wayang gambar. Tapi kali ni bahasanya sepatah harampun aku tak faham. Bunyinya seolah-olah menyucuk-nyucuk gegendang telingaku. Lidahku pula terasa macam nak berbelit kerana perlu sesuaikan dengan sebutan bahasa yang baru perlu dituturkan.

Seperti mana juadah malam tadi, sarapan pagi ni sungguh meloyakan. Nasi putih kekuningan, lembik, melekat, sejuk, bercampur dengan mihun dan sayur air tawar campuran kobis. Walaupun tak menyelerakan, aku paksa jua untuk menelan hidangan yang disediakan. Sesama kami, dari Malaysia, terpinga-pinga memandang antara satu sama lain. Beginikah hidangan yang akan kita hadapi setiap hari selama hampir 6 bulan? Antara kami, tiada siapa yang berani atau sanggup berkata apa-apa. Apa boleh buat, telan sajalah. Tak ada roti, tak ada telur. Sayur air tawar jadi habuan setiap hari. Minum kopi pekat berselang seli dengan teh o berserbuk sebesar batang mancis. Tak kan jumpa kopi susu, teh susu. Jauh sekali horlick atau Milo. Hanya segelas seorang. Air suam dalam cerek saja sebagai tambahan. Usai sarapan, kami ke stor senjata yang terletak di bangunan Balai Pengawal Kem PUSDIK. Setiap orang dibekalkan selaras senapang HSLR zaman Belanda. Beratnya boleh tahanlah juga. Lebih berat daripada M16. Lengkap bersenjata, menggalas pack di atas belakang serta memakai helmet besi, kami siswa seramai 40 orang berbaris pagi di padang kawad. Perbarisan dilakukan menggunakan kaedah kawad TNI. Kami berempat dari Malaysia pastinya keliru kerana sememangnya kawad mereka berbeza. Kami dipecahkan kepada lima kumpulan yang mengandungi 8 orang sekumpulan. Bermulalah acara suaikenal atau orientasi. Setiap kumpulan dikehendaki menarik sebuah meriam gunung. Meskipun meriam gunung tidaklah sebesar 105 mm PH yang beratnya 2881 Lbs, tapi jarak untuk menarik meriam sangat jauh dan meletihkan. Setiap kumpulan mula menarik meriam masing-masing keluar kem, melalui jalan-jalan kampung yang tidak berturap. Merentas desa atau melintas medan sambil menarik meriam, menggalas pack dan menyandang senjata HSLR!.  Tak pasti berapa jauh meriam ditarik, tetapi yang pasti memang jauh dan amat meletihkan. Melalui kawasan pedalaman dengan jalan yang berlubang-lubang, berlopak dan sempit. Berjam-jam menarik meriam, melangkaui beberapa perkampungan. Bila matahari telah menegak di atas kepala, kami telah sampai di suatu kawasan yang lapang di pinggir sebuah kampung.

Masa untuk berehat seketika.  Kami dijamukan dengan nasi bungkus yang sama tak sedapnya seperti sarapan pagi. Pun begitu terpaksa ditelan juga untuk memulihkan tenaga. Dalam hatiku tak henti-henti menyumpah seranah. Kenapalah aku datang ke sini...kena lanyak macam ni...tak pernah aku rasa sepanjang berkhidmat di tanahair sendiri.  Belumpun reda rasa penat dan hadam makanan yang ditelan, kami dikerah pula membuat terjunan gelongsor tali. Seorang demi seorang menggelongsor menggunakan tali dari atas sebuah bukit hingga ke bawah. Jarak dalam 100 meter. Aktiviti ni taklah meletihkan sangat. Ingatkan dah habis. Lepas tu beralih ke aksi selanjutnya. Kena melintasi sebuah kolam dengan memanjat dan melalui tali yang direntangkan di atas kolam. Aku tengok pegawai-pegawai TNI santai sahaja. Seorang demi seorang mereka melepasi tali rentang sama ada dengan teknik bergayut atau meniarap dan berengsot di atas tali. Tiba giliran kami berempat pula! Seorang demi seorang jatuh ke dalam kolam!!  Walaupun gagal dalam latihan merentasi kolam, hati aku seolah-olah berasa gembira kerana ujian untuk hari ini sudah selesai. Malangnya, sangkaan aku meleset. Kami semua kena sambung ujian menarik meriam. Dengan perasaan marah yang dipendamkan, kecewa dan geram, kami teruskan tarik meriam. Tatkala azan maghrib berkumandang dari madrasah berdekatan, kami masih tercungap-cungap bermandi peluh, menarik meriam melalui tepi laluan lebuhraya Cimahi. Menjelang waktu Isyak, barulah kami sampai di garisan penamat di dalam Kem PUSDIK. Setelah memulangkan senjata HSLR ke Stor Senjata, kami balik ke berek. Malam ni barulah kami dapat tidur lena dek keletihan yang amat sangat. Tak tau berapa kilo berat badan menyusut pada hari tersebut.

2 September 1995, hari Selasa. Orientasi hari kedua pula. Dengan memakai celoreng, menggalas pack serta membimbit selaras HSLR, kami dikerah keluar kem lagi. Kali ini adalah ujian membaca peta pula. Tengok peta yang disediakan dah membuatkan aku naik pening. Peta lama dan ketinggalan. Nampak berserabut garisan kontor serta penempatannya yang padat dan berselerak. Walaupun tak ada lagi acara menarik meriam, tapi cabaran dan siksaan yang dihadapi sama saja rasanya seperti mana orientasi pada hari pertama. Kami berjalan dalam kumpulan, meredah kampung-kampung, bukit-bukau, sungai, parit dan lurah. Ketika mendaki sebuah bukit berbatu, rasa penat menjadi berganda apabila disajikan dengan laungan lagu-lagu tradisional tempatan yang menusuk telinga. Bukit tersebut hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki atau menaiki kereta kuda saja. Kebetulan ketika sedang mengerah tenaga mendaki bukit, terdapat satu majlis kenduri kahwin di salah sebuah rumah yang terletak di atas bukit tersebut. Lagu-lagu tradisional jawa atau sunda dimainkan dengan kuat. Mendengarkan lagu yang paling tak sedap tu menyebabkan kaki aku terasa lebih berat untuk melangkah.

Selepas menuruni bukit tersebut, laluan kami seterusnya adalah menyusuri sebuah parit pula. Parit selebar sedepa tu sungguh memualkan. Busuk dilimpahi sampah sarap dan kedapatan bangkai ayam. Tak boleh dielakkan kerana ada yang mengawasinya agar kami tak melencong atau menipu. Parit busuk sepanjang lebih seratus meter terpaksa kami harungi. Seluruh badan kini dibaluti pakaian warna coklat kehitaman. Berlendir dan meleleh. Baunya tak perlu disebutkan lagi. Bukan sekadar itu. Belum cukup dengan mendaki bukit berbatu dan mengharungi parit busuk, misi selanjutnya adalah mengutip bendera yang diletakkan di atas kemuncak Gunung Bohong di Cimahi atau juga dikenali sebagai Gunung Padang Kasih. Ketinggian Gunung Bohong adalah 700 kaki dari paras laut.  Taklah setinggi mana, tetapi kecuramannya membuatkan aktiviti pendakian Gunung Bohong sangat meletihkan. Tambahan pula kami berempat sebenarnya tidak pernah dimaklumkan bahawa kursus yang dihadiri ini memerlukan persiapan fizikal yang mantap. Lainlah bagi pegawai-pegawai TNI. Kursus ini sangat penting untuk peningkatan kerjaya mereka. Seorang demi seorang pegawai-pegawai TNI berjaya tiba di kemuncak Gunung Bohong. Kami berempat pula terkial-kial. Beberapa langkah merangkak, berhenti sejenak menarik nafas yang tercungap kencang. Kapt Shamsudin dan Kapt Baber menjadi pegawai ATM yang pertama dan kedua tiba di kemuncak, tetapi ketiga dan keempat terakhir di kalangan keseluruhan 40 peserta. Akhirnya aku sampai juga di kemuncak. Orang ketiga di kalangan ATM dan kedua terakhir secara keseluruhan. Sebaik aku sampai di kemuncak, kelompok besar yang tiba awal telahpun selesai mengambil bendera dan menyanyi lagu artileri TNI dan terus menuruni gunung. Belum sempat menarik nafas panjang, aku terus mengekor dari belakang menuruni Gunung Bohong. Dalam perjalanan turun, aku lihat Kapt Aminullah masih terduduk di atas seketul batu besar di tepi laluan. Beliau gagal sampai ke kemuncak.

Lewat petang barulah kami sampai semula di Kem PUSDIK. Terus ke bilik air untuk menghilangkan bau busuk badan yang berbalutkan uniform coklat kehitaman. Selesai orientasi dua hari yang sungguh menyiksakan. Masih terlalu lama masa yang perlu ditempuhi. Petang tadinya sempat juga meluangkan masa ke warung telefon (wartel) di hadapan luar pagar Kem PUSDIK. Menghubungi isteri tersayang, meluahkan perasaan. Terubat seketika rasa rindu dendam.

Kemuncak Gunung Bohong, Cimahi

Peta Cimahi

Kota Cimahi yang padat
Sekadar ini dulu.....akan datang....Menghadiri kelas dalam bahasa Indonesia, lawatan ke tempat menarik, bertemu sahabat lama dari SMC, Sidiyono sahabat sejati.....


Cerita Cinta Bola

Seperti biasa, pada hari-hari bekerja, tepat jam 0445 pagi, alarm berbunyi di telefon bimbit, Kalau ikutkan hati rasa malas nak bangun kerana belum puas tidur. Melawan perasaan, aku segera bingkas. Ketika fikiran masih terawang dan mata masih berpinar-pinar, aku capai Lenovo A880 di birai katil. Jari jemari menaip pada skrin telefon, membuka web dailymail.co.uk. Kemudian tekan pada sports. Keluar berita, Chelsea membelasah Manchester United 4-0. Aku cuma terdiam. Berasa agak gembira kerana pasukan musuh ketat kena belasah. Dalam masa yang sama ada juga rasa geram kerana terbayang di fikiran, Syafiq pasti tersenyum lebar. Namun begitu, rasa kepuasan masih menguasai kerana kedua-dua team seteru masih berada di bawah kedudukan Liverpool.

Bolasepak merupakan sukan nombor wahid bagiku. Menjadi kesukaanku sejak aku belumpun menjejakkan kaki di bangku sekolah rendah. Seperti yang pernah aku ceritakan terdahulu, padang bola Ibok menjadi pencetus minatku terhadap bolasepak. Perlawanan bolasepak persahabatan antara tim kampung Ibok dengan kampung-kampung sebelah sering menjadi tumpuan kami sekalian. Sekali-sekala ada perlawanan sepak takraw, tetapi ianya bermusim dan tidak mampu menarik minat ramai penduduk. Padang bola Ibok sesatunya lapangan permaianan yang menjadi tempat tumpuan. Biasanya orang-orang dewasa akan mula sesi menendang bola di salah satu pintu gol pada jam hampir 6 petang. Giliran budak-budak hanya terhad sebelum orang-orang dewasa masuk padang. Bila orang dewasa dah menguasai padang, budak-budak macam aku hanya dapat bermain di tepi padang belakang gol menghala ke sungai.

Minat terhadap bola juga didirong oleh siaran bolasepak Liga Inggeris di TV Malaysia. Tok Him Polis yang dibantu oleh isterinya Cik Som, berniaga makanan. Mereka merupakan manusia pertama dari Ibok yang memiliki TV. Sebuah TV hitam putih berukuran 12 inci dan menggunakan kuasa generator. Pada waktu tu tiada elektrik lagi. Siaran TV Malaysia masih hitam putih dan bermula sekitar jam 3 petang hingga 11 malam. Sejak Tok Him ada TV, kedai makannya kian menjadi tumpuan. Seluruh penduduk Ibok dan kampung sekitarnya seperti Yakyah, Pondok Limau hingga ke Jong Belaboh akan membanjiri halaman kedai Tok Him, terutamanya pada malam Sabtu. Malam Sabtu sangat meriah dengan kehadiran warga Ibok untuk menonton tayangan gambar melayu. Sekali dalam seminggu, sebelah petang ada siaran bolasepak Liga Inggeris di TV Malaysia. Waktu tu ramailah peminat bola terpaku di depan TV yang diletakkan atas sebuah meja. Sekali-sekala deruman generator tenggelam oleh sorakan penonton apabila terdapat jaringan gol. Kadang-kala ketika asyik menonton siaran TV, Tok Him terpaksa menutup suis seketika kerana generator perlu diisi mintak petrol.  Aku adalah antara budak-budak yang sangat setia dan jarang ketinggalan berada di hadapan TV Tok Him apabila siaran bola ke udara. Pada zaman tersebut, Liverpool merupakan sebuah pasukan yang paling hebat dan termasyhur. Perlawanan yang melibatkan Liverpool sering disiarkan. Dari situlah cinta aku terhadap Liverpool mula berputik. Seorang demi seorang nama-nama pemain handalan Liverpool menjadi mainan di bibir aku. Pemain yang menjadi kegilaanku termasuklah penjaring gol utama, Kevin Keegan dan penjaga golnya Ray Clemence. Selain Liverpool, pasukan yang agak popular dan biasa aku dengar pada masa itu ialah Arsenal, Ipswich dan MU.  Pada zaman tu, pasukan seperti Chelsea tak pernah aku dengar langsung.

Kegilaan dan ketaksuban terhadap Liverpool membuatkan aku kerap berangan-angan untuk menjadi pemain bola sehandal mereka. Bila berpeluang bermain bola di padang bola Ibok, aku pasti cuba meniru aksi nama-nama besar yang menjadi idola aku. Selain di TV dan di padang bola Ibok, aku tak pernah menonton perlawanan-perlawanan melibatkan pasukan lain. Pada usia 6 tahun, iaitu pada tahun 1970, Stadium Darul Makmur, Kuantan telah dibuka secara rasmi. Sebagai pembukaan rasmi stadium, perlawanan pembukaan bolasepak Piala Merdeka 1970 telah diadakan di stadium tersebut. Aku berpeluang mengikuti rombongan orang kampung Ibok menaiki bas bersama-sama keluargaku ke Stadium Darul Makmur, menonton perlawanan antara pasukan kebangsaan Malaysia melawan Thailand. Setelah mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2. Walaupun kurang berpuas hati dengan keputusan perlawanan tetapi aku pulang ke rumah dengan perasaan riang kerana dapat menyaksikan perlawanan peringkat antarabangsa buat pertama kalinya dalam hidup. Keseronokan tersebut menebalkan lagi kecintaanku terhadap bolasepak.

Sekadar ini dahulu....akan datang...kali pertama menyarung jersi dan menjadi pemain professional.
Aksi Kevin Keegan bersama Liverpool
You'll Never Walk Alone

Hasil carian imej untuk stadium darul makmur 1970
Stadium Darul Makmur 1970




Jumaat, 21 Oktober 2016

Foto-Foto Sengsara di Cimahi

Jeram air panas di Bandung

Peserta Kursus Lanjutan Perwira 2 di PUSDIK ART
Lintas Medan atau Merentas Desa sekitar Cimahi


Dalam Kem PUSDIK ART Cimahi

Isteri dan 3 anak-anak yang ditinggalkan