Jumaat, 14 Oktober 2016

Dia Ibuku 2

Kami berempat menumpang di rumah Kak Nor dan Abang Aziz di Selayang Baru. Keesokan paginya kami terus ke Pejabat Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak. Kelihatan ramai calon-calon telah sampai di Kedutaan RI untuk menduduki ujian kemasukan ke universiti Indonesia. Setelah menemui pegawai di Kedutaan, kedua-dua rakan saya turut dibenarkan menduduki ujian untuk hari pertama. Senarai calon yang layak untuk dipanggil menduduki ujian akhir yang akan diadakan keesokan hari, akan dimaklumkan di papan kenyataan pada sebelah petang. Sementara menunggu keputusan ujian hari pertama, ayah mengajak kami ke rumah kakak angkatnya di Taman Koperasi Guru, Bandar Tun Razak. Sebelah tengaharinya ke kampung Pandan pula. Ayah tak pasti sangat alamat rumah yang dicari di kampung Pandan, jadi kami teraba-raba mencari rumah yang dituju. Ketika ayah masih merayau-rayau di kawasan sekitar, saya tiba-tiba rasa mengantuk yang amat sangat. Saya duduk di atas batu di bawah fly over. Saya terlelap seketika, sementara ayah dan kedua rakan saya masih tercari-cari rumah kakak angkatnya. Setelah beberapa ketika, saya sedar dari lelap dan mengikut ayah semula. Kami berada dalam kawasan penempatan kampung Pandan. Beberapa orang yang ditanya tidak dapat memberi jawapan kepada pertanyaan ayah. Ayah pergi ke sebuah pondok telefon untuk menelefon seseorang. Ketika ayah mula mengangkat gagang telefon tu, saya berada tidak jauh darinya.
            Seketika, saya terdengar ayah menyebut “Innalillahi wainna ilaihi rojiuun” dan kelihatan riak wajahnya berubah dengan ketara serta merta. Dia terus meletakkan gagang telefon. Wajah ayah pucat dan menggeletar. Saya tanya ayah, apa yang berlaku? Ayah senyap. Tak berkata apa-apa. Saya tanya lagi, apa yang berlaku? Ayah gelengkan kepala sambil berkata, tak ada apa-apa. Saya kata pada ayah, mesti ada apa-apa, sebab ayah ada sebut innalillah tadi. Siapa yang mati? Ayah tetap tak jawab. Saya ulang lagi, siapa yang mati? Tak dapat saya gambarkan perasaan saya pada masa itu. Tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Saya agak mesti ada kematian kerana ayah ucap innalillah tadi. Badan saya terasa lemah, beribu persoalan muncul dalam fikiran...berkecamuk...serabut...bimbang...Ya Allah siapa pulak yang mati? Apa sebenarnya yang berlaku? Ayah tarik saya sambil berjalan cepat-cepat. Shaidi dan Redzuan, pasti dalam kebingungan, tidak bercakap apa-apa, hanya mengikut dari belakang. Kita balik sekarang, kata ayah. Saya tanya ayah berkali-kali, tapi ayah tetap membisu. Saya rasa seperti hendak meraung.
            Ayah meluru ke arah sekumpulan pemandu teksi, berbincang sesuatu. Kami berempat naik teksi. Ketika kami bertolak dengan teksi dari kampung Pandan, waktu sudah hampir maghrib. Waktu itu belum ada lebuhraya dari KL ke Pantai Timur. Perjalanan mengambil masa begitu lama. Ayah duduk di bahagian hadapan. Saya di belakang sebelah kanan. Sepanjang perjalanan hati saya berkecamuk. Tiada sepatah perkataan keluar dari kami semua. Hanya diam membisu. Dalam hati saya berteka-teki, siapa sebenarnya yang meninggal dunia. Pasti salah seorang yang rapat dalam keluarga kami. Satu demi satu, wajah orang-orang tersayang muncul dalam benak. Kakak sulung saya Raiha ke? Apa berlaku kepada dia? Kenapa dia meninggal dunia? Sakit ke? Setahu saya, dia tak ada sakit apa-apapun sebelum ni? Atau dia accident ke? Ya Allah, janganlah matikan dia lagi. Kemudian muncul pula wajah adik bongsu saya, Emi. Terbayang saya saat saya hendak berlepas ke KL tempohari. Dia bersama emak di atas beranda sambil melambaikan tangan. Adakah Emi yang mati? Apa yang berlaku kepada Emi? Ya Allah janganlah matikan adik bongsuku itu. Saya sayang dia. Saya belum sempat melunaskan pesan mak supaya menjaga dan membesarkan dia jika mak mati nanti. Tak mungkin Emi yang mati. Kemudian muncul pula wajah emak. Ya Allah, adakah emak saya yang mati? Apa yang berlaku kepada mak saya? Janganlah matikan mak saya. Saya sangat sayangkan dia. Hati saya memujuk diri saya sendiri, tak mungkin mak yang mati. Mak tak ada sakit apapun. Entah kenapa hanya wajah ketiga-tiga insan tersayang itu saja yang muncul dan bermain di benak saya. Tekaan saya hanya kepada mereka bertiga, Kak Long Raiha, Emi dan emak. Kenapa wajah-wajah lain tak muncul? Bilah, Jihadi dan Saiful.  Dalam firasat saya, Bilah, Jihadi dan Saiful tak mungkin berlaku apa-apa kepada mereka.
            Sepanjang perjalanan, saya tidak mampu melelapkan mata. Ketika Redzuan dan Shaidi sedang lena diulit mimpi, saya masih berkecamuk, berteka-teki dan resah yang amat sangat. Saya tak pandang ke arah ayah. Saya tahu ayahpun dalam keadaan yang amat resah. Apabila tiba di kampung Yakyah, saya menoleh ke sebelah kanan, ke arah rumah Tok Wan Mak Yah. Gelap, tak bercahaya. Terus terdetik dalam hati saya, pasti kematian berlaku antara Kak Long Raiha, Emi atau emak, bukannya Tok Wan. Rumah Tok Wan gelap kerana dia tentu berada di Pondok Limau. Ya Allah, semakin dekat hendak sampai ke Pondok Limau semakin resah dan gementar seluruh jiwa saya. Terus tertanya-tanya. Siapa yang mati?
            Di antara waktu lewat malam dan sebelum menjelang subuh, teksi yang dinaiki tiba di perkarangan rumah Pondok Limau. Dari dalam teksi lagi saya pandang ke arah rumah. Terang benderang...terdapat ramai orang...sah ada kematian!!. Ya Allah!..siapa yang mati?. Saya terus meluru ke dalam rumah. Saya nampak ramai orang..masing-masing diam saja. Saya tak nampak Kak Long Raiha...saya tak nampak Emi...saya tak nampak emak. Spontan suara saya terkeluar, bertanya, siapa yang mati? Terdengar seseorang menjawab, mak!. Ya Allah! Terasa gelap pandangan...lemah...hancur luluh...tak sempat saya untuk terus ke bilik tempat sekujur tubuh yang telah kaku berselimut seluruh jasad...saya hanya mampu terduduk... saya telah kehilangan seorang insan yang paling saya sayang di dunia ini, sampai bila-bila....Saya kehilangan mak saya untuk selama-lamanya!! Saya juga tidak dapat meneruskan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke Indonesia! Saya juga tidak dapat turut serta menjulang Piala Adun Kijal! Saya hilang ketiga-tiganya dalam suatu masa!! Namun kehilangan emak ketika saya tiada di sisinya meninggalkan bekas yang mendalam sehingga ke penghujung nyawa. Saya tidak memeluk dan mencium emak saat meninnggalkannya tempohari. Saya tidak sempat memohon ampun dan maaf pada mak. Saya tidak sempat membalas budi dan jasa mak. Sehingga sekarangpun saya gagal melunaskan hutang saya pada emak untuk menjaga Emi sebagai pengganti mak. Kalaulah saya tahu penyakit darah tinggi yang mak hidapi tu sebenarnya cukup berat, pasti saya takkan tinggalkan mak begitu saja. Kalaulah saya tahu lambaian di beranda itu adalah yang terakhir, pasti saya akan memeluk dan mencium mak sepuas hati.  Mak telah pergi menemui Penciptanya dalam usia yang masih muda, meninggalkan kami, anak-anakmu yang masih dahagakan kasih sayangmu. Tanpa sempat mengenal menantu dan menimang cucu. Seorang emak yang penyayang. Masakanmu tetap tiada tandingan. Senyumanmu sentiasa menawan. Allah lebih menyayangi mak. Kalaulah mak masih ada, barangkali belum tentu kami anak-anak dan cucumu mampu menjaga dan berbakti padamu. Justeru, tuhan mengambilmu dulu, supaya anak-anak dan cucumu tidak dipalit dosa kerana mengabaikan mu di kala tua.
            Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mak, diampunkan segala dosa dan dimasukkan ke syurga. Nantikan anak-anak dan cucu-cucumu di pintu syurga.


PUSARA IBU

Ketika ibu dijemput mengadap Ilahi
Sendirian tanpa suami dan anak-anak di sisi
Belum sempat kenal menantu dan menimang cucu
Seluruh jiwa raga kami  disentap dipalu haru

Ketika ibu diusung pergi
Menuju ke alam hakiki
Ayah hiba ditinggalkan isteri
Anak-anak derita kehilangan bonda sejati
Mahligai terbina telah hilang seri
Tiada lagi tawa jelita sang permaisuri
Tiada lagi usap manja sang rajuna hati

Ketika ibu diturunkan ke liang lahad
Dalam sendu dan pilu menyayat
Suami dan anak-anakmu kaku tercegat
Redha atas kepergianmu tinggalkan alam hayat

Setelah ibu selamat bersemadi di alam abadi
Tinggallah amalanmu sebagai bekalan sejati
Serta doa anak-anakmu bersama kalimat suci

Hanya pusara sebagai ganti
Saban hari, ayah berkunjung melepaskan resah di hati
Pada sepasang batu nisan yang tegak berdiri
Bait-bait doa di bibir tidak kenal sunyi
Setiap hari, anak-anak bertandang memujuk hati
Yang masih remuk redam kesal tidak terperi
Mengenang dosa padamu yang belum tercuci

Setelah dua puluh tahun berlalu
Pusara ibu masih setia di situ
Tetapi sepasang batu putih telah bertukar kelabu
Di dadanya dibaluti samun dan semalu
Sudah hilangkah rindu resah seorang lelaki seperti dulu?
Sudah lekangkah sendu gelisah insan bernama anak cucu?
Benarlah bagai kata pepatah
Sekali air bah  pasti pantai  berubah
Ayahku, suamimu telah ada pengganti
Kami, anak cucumu telah memiliki mahligai sendiri
Tinggallah pusara ibu sepi dimamah hari
Kasih yang bertaut terlerai sendiri

Mujurlah datang lagi Al-Mubarak ini
Malam kudus kembalikan semarak suci mewangi
Biarpun berada merata dan bercempera
Bait-bait doa kembali meniti di sepasang bibir lesu
Menghajatkan alam abadimu kekal terang seperti selalu

Syawal tidak pernah mungkir janji
Tidak seperti suami dan anak cucumu
Janji setia diungkap mudah terlupa
Berlalunya rembang petang akhir Ramadan
Menyambut kedatangannya  bersama takbir berkumandang
Pusara ibu yang begitu lama bisu dan sepi
Kini kembali dikunjungi dan disirami
Secangkir air mawar sejambak bunga
Disulami doa bersama deraian air mata

Sebuah pusara tua tempat semadinya jasad ibu tercinta
Kembali menggamit rindu kalbu penuh syahdu
Penawar rindu teramat dan dendam kesumat seorang suami
Pengubat kasih keruan putera dan  puteri
Di pagi Aidil Fitri mulia  ini
Akan bersatukah kita kembali?


AHMAD JAFNI ABDUL GHANI
Permatang Pauh
5 Ramadan 1406.




                                             Seribu Penyesalan


Tanpa desir angin malam seperti selalu
Tiada jua jerit pekik cengkerik mengiramakan lagu
Kelawar dan burung tukang turut bisu membatu
Malam ini menjadi begitu sepi dan kaku
Seluruh jiwa dan kalbu bergolak tidak menentu
Terbang melayang kembali ke masa dulu

Lantas muncul wajah ibu yang cerah dan ayu
Tergambar zaman indah dan susah payah bersamamu
Terpancar sekuntum senyum penawar rinduku
Terkenang kejerihannya yang mendewasakan liku hidupku

Syakban itu Rahmat Ilahi telah mengundangmu
Syakban itulah untuk selamanya aku kehilanganmu

Namun setelah sekian lama masa berlalu
Seribu penyesalan masih tetap mengganggu

Kerana akulah anak yang tidak berada di sisi ketika akhir hayatmu
Kerana akulah anak yang tidak sempat memohon keampunan dan keredhaanmu
Kerana akulah anak yang tidak berupaya membalas budi muliamu
Kerana akulah anak yang tidak berdaya mengotakan janji setia padamu
Kerana akulah anak yang telah melukakan hati suamimu
Kerana akulah anak yang telah mensesiakan ahli keluargamu
Kerana akulah anak yang telah lama tidak menghirup udara desamu
Kerana akulah anak yang telah lama tidak mengunjungi pusaramu


Ahmad Jafni

Bukit Sentosa
24 Rabiulakhir 1429
1 Mei 2008




1 ulasan: