Cimahi merupakan sebuah kota dalam Kabupaten Bandung. Pada perkiraan aku jarang sekali kedapatan rakyat atau pelancong Malaysia yang berkunjung ke Cimahi kerana Cimahi bukanlah sebuah bandar yang popular untuk wisata, terutamanya bagi rakyat Malaysia. Sebelum menjejakkan kaki di Indonesia, aku tidak pernah tahu tentang Cimahi. Sehingga sekarangpun, tidak kutemui mana-mana agensi pelancongan di Malaysia yang memapar atau mempromosi kunjungan ke Cimahi. Rakyat Malaysia sangat maklum jika disebut Bandung, Bali, Lombok, Surabaya, Medan dan banyak lagi. Tetapi tidak mengenali sama sekali Cimahi.
Indonesia adalah negara luar kedua yang aku lawati selepas Singapura. Singapura, aku kunjungi pada tahun 1983, iaitu bersama-sama rakan-rakan tingkatan 6 dari SMTIZ, sebagai meraikan selesainya STPM. Lawatan beberapa jam ke Singapura menggunakan pas masuk terhad hanya untuk membeli-belah sahaja. Malangnya, tiada sekeping gambarpun yang ada dalam simpanan. Cimahi buat pertama kali aku ketahui apabila menghadiri Kursus Lanjutan Perwira 2 di Pusat Pendidikan Artileri (PUSDIK ART) . Selama hampir 6 bulan aku menempuh dugaan dan berasa sengsara sepanjang menjalani kehidupan di Cimahi.
Ketika aku menarik beg beroda keluar dari rumah sewa di Taman Sri Kluang, menuju ke arah Land Rover yang sedia menunggu di luar pagar, anak bongsu ku Ahmad Syakir Yaqzan belumpun cukup setahun usianya. Tentunya dia belum mengerti dan memahami situasi pada masa itu. Dia berada dalam dukungan isteriku yang pastinya telah berlinangan air mata kesedihan. Turut mengiringi pemergianku buat pertama kalinya ke luar negara untuk suatu jangkamasa yang agak lama, adalah sepupuku Kak Pah bersama Abang Him dan anaknya Om. Kebetulan 3 beranak tersebut datang berkunjung ke rumahku sehari sebelum itu. Mereka datang berkunjung tanpa memaklumkan terlebih dahulu. Maklumlah waktu dulu bukannya ada komunikasi secanggih sekarang. Kesiannya mereka, baru semalam tiba, aku dah terpaksa pergi tinggalkan mereka. Aku tak begitu mengingati sangat keberadaan kedua-dua anak perempuanku, Fatin dan Atiqa di saat aku hendak berangkat ke kuala Lumpur. Yang jelas dalam ingatanku hingga sekarang adalah Syakir yang masih belum mengerti apa-apa, berada dalam dukungan emaknya yang makin sebak dan sedih. Menangis tersesak-esak tanpa mempedulikan kehadiran sepupuku.
31 Ogos 1995, tatkala seluruh rakyat Malaysia sedang merayakan Hari Kemerdekaan negara ke-38, aku bersama 3 rakan seperjuangan dari ATM, iaitu, Kapt Shamsudin Hasni, Kapt Baber Zuman dan Kapt Aminullah Hj Omar, memasuki perut kapal terbang MAS buat pertama kali dalam sejarah hidup. Pesawat MAS berlepas dari Lapangan Terbang Subang sekitar jam 1200 pagi. Sebaik saja kapal terbang berada di awan, aku telah mula melayan perasaan. Wajah-wajah isteri dan anak-anak yang baru ditinggalkan mula bermain-main dalam bayanganku. Baru saja berpisah, tapi rasa rindu tiba-tiba membuak. Menjadikan fikiranku bercelaru dan resah, Terasa ingin kembali ke pangkuan mereka dengan serta-merta. Bagaimana nak ku tempuhi lima ke enam bulan lagi tanpa mereka di sisi? Sepanjang penerbangan, tatkala rakan-rakanku lena diulit mimpi, aku tidak mampu melelapkan mata. Wajah-wajah orang kesayangan silih berganti. Terdetik dalam benakku. Bagaimana nanti kehidupan keluargaku pula tanpa kehadiranku dalam masa yang agak lama. Terbayang betapa susahnya isteriku nanti untuk mengurus anak-anak yang sedang membesar. Fatin berumur 4 tahun, Atiqa, 3 tahun dan Syakir, hampir setahun. Isteriku tidak ada lesen memandu dan tidak pernahpun belajar memandu. Kalau anak-anak sakit tengah-tengah malam, pasti sukar untuk isteriku ke klinik yang agak jauh. Mungkin dia boleh minta bantuan jiran sebelah Cikgu Liew. Jiran berbangsa cina tapi sangat rapat dengan keluarga kami. Dia pasti boleh diharapkan untuk meminta bantuan ketika dalam kesusahan.
Dua jam terbang, kamipun mendarat di Bandara Sukarno Hatta, Jakarta. Pertama kali menjejakkan kaki di bumi Indonesia. Detik itu teringat kembali aku kepada saat kegagalan aku untuk melanjutkan pelajaran di Indonesia suatu ketika dulu. Seperti yang aku coretkan sebelum ini, aku pernah bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di universiti di Indonesia. Namun, cita-citaku terkandas lantaran tidak dapat meneruskan peperiksaan kelayakan di Kedutaan Indonesia. Aku terpaksa bergegas pulang ke Kemaman kerana kematian emak pada tahun 1985. Cita-citaku untuk belajar di universiti Indonesia, tidak kesampaian, tetapi Allah Taala menggantikannya dengan menghantar aku menghadiri kursus panjang di Bandung, Indonesia. Kuasa dan ketentuan Allah. Dia tidak memberi apa yang kita hajati semata-mata, tetapi memberi apa yang kita sebaiknya perlukan. Sekurang-kurangnya aku berjaya jua belajar di Indonesia, meskipun dalam bidang yang berbeza. Lebih penting, dapat mengenali dan berada agak lama di bumi Indonesia. Terdetik pula di hati, alangkah bagus dan bahagianya kalau kunjunganku ke Indonesia ini disertai oleh semua ahli keluargaku. Pasti aku gembira dan lebih seronok apabila sentiasa berada bersama isteri dan ketiga-tiga anak comelku yang sedang membesar. Ketibaan kami berempat siap disambut oleh wakil TNI. Kami berempat dibawa ke Markas Besar ABRI, Jakarta. Pada waktu sampai di Kem tersebut, solat Jumaat sedang berlangsung. Jadi, kami tak sempat solat Jumaat hari tu. Buat pertama kalinya juga, kami dihidangkan makan tengahari dengan nasi gudej bungkus. Makanan sunda yang dimakan terasa begitu sukar untuk ditelan. Langsung tak menepati selera Melayu kami. Alahai, kalau macam ni lah rasanya, tak makanlah jawabnya.
Beberapa ketika kemudian, kami dihantar ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta. Di sana sedia menanti staf Pembantu Pertahanan Malaysia, iaitu Staf Sarjan Salleh. Dalam pada asyik berbual, kami dikejutkan dengan perkhabaran bahawa kami berempat harus segera terbang ke Cimahi pada petang itu juga kerana kursus akan bermula pada pagi esoknya. Tiada pengecualian. Staf Sarjan Salleh menghantar kami ke lapangan terbang. Belumpun hilang rasa letih, kami terus menaiki pesawat Merpati Air dari Jakarta menuju ke Bandung. Tak sampai sejam, dari atas awan telah kelihatan sebuah lapangan terbang yang berada di dalam sebuah kem tentera di pinggir Kota Bandung yang begitu padat dengan penempatan. Sebaik keluar dari pintu pesawat, jelas terpampang Bandara Hussin Sastranegara. Dari situ kami dibawa menaiki sebuah truck tentera menuju ke Cimahi. Cimahi adalah sebuah kota atau pusat tempat terletaknya banyak pusat-pusat latihan tentera. Selain itu, ada Universiti Jeneral Ahmad Yani atau ringkasnya UNJANI. Sepanjang perjalanan, di kiri kanan, banyak kelihatan kem-kem tentera dan pusat-pusat latihan tentera serta sebuah hospital tentera iaitu Hospital Dustira.
Truck yang dinaiki memasuki pintu pagar kem yang terpampang di gerbangnya perkataan PUSDIK ART. Kami diturunkan di depan sebuah bangunan berek besar peninggalan Belanda. Tempat penginapan kami jauh berbeza jika nak dibandingkan dengan mes pegawai di kem-kem Malaysia. Berek di Pusdik ni dilengkapi dengan katil double decker. Bilik air berasingan dan berpusat di bahagian luar berek. Tandas curah dan mandi menggunakan air kolah. nampak tak selesa kerana tandas sebaris dan rendah. Kalau orang sebelah menyebelah sama-sama berdiri, boleh nampak antara satu sama lain. Sebahagian besar peserta atau penuntut kursus dari TNI telahpun melapor diri. Kami saling berkenalan. Kehadiran orang luar Indonesia menyertai kursus ini buat pertama kalinya, menjadikan mereka agak teruja. Lucunya kami baru mula belajar bercakap loghat Indonesia. Sesama mereka pula ada yang guna loghat jawa atau sunda. Sepatah harampun kami tak faham. Betul-betul rasa tak selesa. Kami berempat diberikan katil atas. Rasa macam budak-budak pula. Makan malam pertama di kem tersebut rasa macam nak muntah. Nasi dahlah sejuk, pas tu melekat, lembik. Lauknya seketul kecil ayam goreng yang masih ada 2-3 helai bulu masih melekat dan berkuahkan air taugeh campur kobis. Disediakan segelas kopi pekat yang suam serta tambahan air kosong dalam cerek. Walaupun tak suka minum kopi, terpaksalah aku telan juga segelas kerana kehausan. Tak ada meja makan macam di mes Malaysia. Berbeza sangat. Sepanjang malam, sukar untuk lelapkan mata. Wajah isteri dan anak-anak sentiasa terbayang. Rasa sedih dan sebak. Tapi aku berjaya pendamkan perasaan. Tanpa dapat disekat, mengalir juga airmata kerinduan.
Tanggal 1 Sep 1995, hari Sabtu........Bersambung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan