Jumaat, 14 Oktober 2016

Dia Ibuku

Salam untuk semua. Banyak lagi yang hendak saya ceritakan tentang sungai Ibok. Kenapa sungai Ibok? Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain...Memang..sungai Ibok begitu melekat di sanubari saya. Banyak sekali kenangan manis bersangkutan dengan sungai Ibok, biarpun keberadaan sungai Ibok pada masa ini tidaklah seindah seperti dulu. Sungai Ibok telah jauh berubah. Saya tinggalkan seketika coretan tentang sungai Ibok, sementara menanti kiriman foto-foto terbaru sungai Ibok seperti yang dijanjikan oleh salah seorang anak buah yang masih bermastautain di Ibok. Dia, seseorang yang pernah merasai kemeriahan dan kegirangan berkubang di sungai Ibok suatu ketika dulu. Dalam pada menanti kiriman foto terbaru untuk disisipkan di ruangan ini, saya memohon kepada sesiapa di kalangan kerabat atau warga Ibok yang terbaca catatan ini, sekiranya ada menyimpan foto-foto lama sungai Ibok, mohon bermurah hati mengirim kepada saya. Tiada satupun foto sungai Ibok zaman dulu berada dalam simpanan saya.
            Dalam setiap kehidupan, kita sebagai insan pasti akan menempuh detik waktu bahagia, gembira, duka, malang, aib, berjaya dan gagal. Seumur hidup saya yang telahpun menjangkau usia setengah abad, juga pernah merasai dan mengalami pelbagai peristiwa suka dan duka. Justeru, coretan ini saya khususkan kepada satu peristiwa atau trajedi yang paling menyedihkan dalam hidup saya. 
            Pemergian emak saya menemui Sang Pencipta untuk selama-lamanya adalah detik yang paling pedih dan sedih dalam hidup saya. Sejujurnya, jika ditanya, saya tidak pernah menghafal tarikh tepat kematian emak saya. Kerana pada saya, saya tidak mahu mengenang kembali tarikh yang meruntun seluruh jiwa saya, tarikh yang meremuk redamkan segala perasaan saya, tarikh yang meluka hancurkan perasaan saya. Pun begitu, apalah daya saya. Saya bukannya tidak meredhai pada suratan takdir. Siapalah saya untuk menepis segala takdir yang telah tersurat di Loh Mahfuz.
            Setelah selesai menduduki peperiksaan STPM, saya memang ada menyimpan cita-cita dan menaruh harapan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Hasrat yang sama  tidak pernah lelah disuarakan oleh ayah saya. Sejak dalam darjah lima lagi ayah sering bersuara memberi galakan dan memasang hajat agar saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Darjah 5. Sejak Sekolah Kebangsaan Ibok (SKI) dibuka, belum ada seorangpun murid-murid SKI yang berjaya mendapat keputusan cemerlang. Pencapaian terbaik diperolehi pada tahun 1974 oleh Edi anak Tok Him Polis atau nama penuhnya Ruzaidi Ibrahim, yang memperolehi 2A.  Ayah sering menyebut nama sekolah-sekolah tersohor yang menjadi idamannya seperti SDAR, STAR, Tun Fatimah, Alam Shah, Seri Putri dan MCKK.  Saya sendiripun ada memasang angan-angan untuk memasuki MTD.  Setelah kedua-dua kakak saya, Raiha dan Supatree tidak berjaya mencapai misi yang ditetapkan ayah, sayalah taruhan berikutnya.  Namun, seorang lagi anak yang diharapkannya menghasilkan keputusan yang mengecewakan. Saya tahu ayah kecewa lagi. Pada saya kegagalan kami bertiga pada masa tersebut bukanlah kerana kami terlalu teruk berbanding dengan pencapaian adik-adik kami. Sistem peperiksaan pada masa tersebut agak pelik boleh saya katakan. Pada masa tersebut tiada langsung buku rujukan dan koleksi soalan-soalan lepas. Di SKI langsung tidak ada kelas tambahan, apa lagi tuisyen. Yang saya tak faham adalah kertas-kertas soalan akan dibakar sebaik saja murid-murid selesai menduduki peperiksaan.
            Saya selesai menghadapi peperiksaan STPM dengan mendapat keputusan 3P 2R.  Berdasarkan keputusan tersebut, saya masih tidak terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana IPTA. Pada masa tersebut hanya terdapat 5 buah IPTA utama. Tidak ada IPTS, melainkan Kolej TAR, yang rata-ratanya menerima pelajar berbangsa cina. Manakala ITM, Politeknik Ungku Omar dan Politeknik Kuantan hanya mengambil pelajar lepasan SPM untuk kursus bertaraf Diploma sahaja. Justeru, saya memohon untuk melanjutkan pelajaran di Indonesia. Pada waktu itu, memang banyak universiti sedia ada di Indonesia. Saya tertarik untuk melanjutkan pelajaran di Indonesia kerana terpengaruh dengan filem-filem Indonesia yang sedang menguasai panggung-panggung wayang dan televisyen di Malaysia. Pelakon-pelakon ternama Indonesia seperti WD Moechtar, Farouk Afero, Dicky Zulkarnaen, Drg Fadly dan Lenny Marlina bermain di bibir peminat filem tanahair. Bersama dua orang rakan karib sekampung yang juga berkelulusan STPM iaitu Shaidi dan Mohd Redzuan Embong, kami menghantar surat permohonan memasuki universiti Indonesia melalui pejabat Kedutaan Indonesia. Tidak berapa lama kemudian, saya sesatunya dari kami bertiga menerima surat panggilan menduduki ujian pemilihan bakal graduan universiti Indonesia. Ujian akan diadakan di Kedutaan Indonesia, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.  Menerima surat panggilan ujian tersebut sudah dianggap sebelah kaki telah menjejaki universiti di Indonesia. Perkhabaran tersebut diterima dengan senang hati oleh emak dan ayah saya.
            Setelah beberapa tahun setia menjadi penonton pada setiap perlawanan bola persahabatan tim kampung Ibok, serta berkat usaha keras dalam sesi latihan, akhirnya saya terpilih untuk bermain dengan pasukan kelab pertama yang ditubuhkan di Ibok. Waktu itu saya dalam tingkatan 4, tahun 1980. Saya turut serta semasa mesyuarat kali pertama untuk menubuhkan kelab bolasepak secara rasmi. Mesyuarat diadakan di Balai Raya Ibok. Mesyuarat bersetuju memberikan nama Tunas Muda. Pengurus pasukan adalah Ibrahim Kamal Omar, suami sepupuku, Kak Pah. Pada tahun itulah buat kali pertama diadakan Liga Bolasepak DUN Kijal yang mempertandingkan pasukan-pasukan di bawah DUN Kijal yang pada masa itu disandang oleh bekas Guru Besar saya di SKI, Cikgu Muhammad bin Muhammad Amin. Sepanjang perjalanan liga tahun pertama itu saya adalah pemain paling muda dan ditugaskan sebagai penjaga gol. Agak malang, apabila dalam perlawanan pertama dengan salah sebuah pasukan dari pekan Kijal, berlaku insiden pergaduhan antara kedua pasukan. Ketika kebanyakan pemain kedua-dua pasukan sedang bergasak di tengah padang, saya tercegat kaku di mulut gol. Setelah penonton yang berada di belakang tiang gol menyuruh saya lari, barulah saya meninggalkan padang. Pada tahun 1984, buat pertama kalinya dalam sejarah kelab Tunas Muda, berjaya menempah tiket ke final Piala DUN Kijal. Pada masa itu saya bermain di posisi penyerang dan midfield secara bergilir.  Barisan pemain Tunas Muda yang berjaya membawa nama Ibok ke final antaranya adalah Setopa Chey, Seimi Birri, Mat Cik Bi, Ah Meng, Zan Pok Teh Mezah, Ayi Pok Teh Mezah, Denan Pok Od, Denan Ali dan lain-lain. Kejayaan memasuki final ini adalah pencapaian terbesar bagi masyarakat Ibok. Salah seorang tokoh yang memainkan peranan penting dalam membina kejayaan bagi tim Ibok ini adalah Kpl Rashid, seorang anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Ibok. Beliau berasal dari Perak. Dialah yang menjadi jurulatih tim, memperkenalkan teknik dan tektik latihan yang sistematik dan penyumbang utama kejayaan kami sehingga sejauh itu. Memang saya rasa teruja dan sangat gembira kerana berpeluang bermain di perlawanan akhir bagi satu perlawanan yang terbesar dalam DUN Kijal. Walaupun perlawanan akhir ini bukanlah yang pertama dalam sejarah penglibatan saya dalam bolasepak, tetapi pada saya perlawanan akhir kali ini sangat istimewa.  Saya pernah mengecapi kemanisan menjaringkan gol dan menang dalam perlawanan akhir semasa mewakili SMC menjuarai bola sepak peringkat Daerah Kemaman pada tahun 1981. Dalam tahun yang sama juga saya merasai suasana perlawanan akhir ketika bermain untuk Pasukan MSSD Kemaman melawan MSSD Kuala Terengganu Utara. Kemaman kalah kepada tim yang diwakili Raimi Jamil, penjaga gol Terengganu dan Malaysia dengan jaringan 2-3.
            Seluruh kampung Ibok geger dengan kejayaan Tunas Muda memasuki perlawanan akhir untuk pertama kalinya. Tidak sabar para pemain termasuk saya dan orang-orang kampung untuk menunggu perlawanan akhir melawan sebuah pasukan kelab kampung Tengah Kijal yang diwakili oleh bekas cikgu darjah saya, Cikgu Budiman Mahmood. Setiap hari kami berlatih dengan gigih di bawah kendalian Kpl Rashid dan Pengurus Pasukan, Abang Him. Beberapa hari menjelang tarikh perlawanan akhir bola sepak antara Tunas Muda dan Kampung Tengah, Kijal, saya menerima sepucuk surat dari Kedutaan Indonesia. Memberi perkhabaran bahawa saya layak menduduki ujian kemasukan ke universiti Indonesia. Ujian penulisan akan dilaksanakan selama dua hari berturut-turut. Perkhabaran yang dinantikan dan sepatutnya sesuatu yang menggembirakan tiba-tiba bertukar menjadi pahit. Tarikh ujian jatuh serentak dengan tarikh perlawanan akhir. Saya jadi serba salah, mahu memilih yang mana satu. Antara bola atau pelajaran. Inilah peluang terbaik dan terbesar buat julung kali untuk saya mengecap kejayaan bersama-sama rakan-rakan dalam pasukan bola sepak kampung. Kalau saya memilih bermain bola bererti saya melepaskan pula peluang keemasan untuk melanjutkan pelajaran di Indonesia, yang menjadi cita-cita saya selama ini. Dalam masa yang sama akan mengecewakan harapan ayah dan emak untuk melihat saya menjadi anak yang pertama menjejakkan kaki ke menara gading. Beberapa hari saya berfikiran buntu, memikirkan mana satu patut jadi pilihan. Saya nyatakan dilema saya kepada rakan-rakan sepasukan. Ketua pasukan saya Seimi Birri dan Setopa Chey agak terkedu mendengar perkhabaran ini. Sebolehnya mereka tidak mahu kehilangan saya dalam waktu yang segenting ini. Akhirnya saya akur dengan hasrat ayah. Saya buat keputusan untuk ke Kuala Lumpur. Kalau ada rezeki saya boleh bermain dalam perlawanan akhir pada tahun hadapan. Dengan berat hati saya terpaksa melupakan hiruk pikuk paluan gendang penyokong-penyokong Ibok. Tidak sampai hati untuk mengecewakan harapan emak dan ayah. Ayah sanggup berkorban, bersusah payah mencari wang sebagai bekalan untuk ke Kuala Lumpur beberapa hari. Petang hari itu, saya tidak akan lupa sampai bila-bilapun, bayangan pertemuan terakhir itu masih tetap segar dalam benak saya sehingga detik ini. Dan takkan mudah terpadam dalam memori saya sehingga ke hujung nyawa. Di atas beranda rumah saya di kampung pondok Limau, masih ternampak di ruang mata saya, tergantung sebuah papan tanda yang tercatat Lot 10 Eshah bt Sulaiman, seorang ibu dan anak perempuan bongsunya, adik saya, Emi sedang bersantai. Tanpa ada salam dan peluk cium, saya dan ayah beserta dua rakan, Shaidi dan Redzuan, perlahan-lahan meninggalkan halaman rumah Lot 10. Lambaian mak dan Emi sebagai tanda restu pemergian saya dan ayah ke Kuala Lumpur untuk merintis jalan dalam melunaskan cita-cita yang sekian lama diimpikan. Entah kenapa lidah saya begitu kelu untuk mengucapkan sesuatu kepada emak dan Emi yang saya tinggalkan, mungkin hanya untuk sehari dua saja. Lambaian emak dan Emi beransur-ansur hilang dari pandangan. Kami berempat meneruskan perjalanan ke Selayang Baru, menumpang tinggal di rumah Kak Nor dan Abang Aziz.

            Cerita selanjutnya akan saya paparkan di lain masa.

1 ulasan: