Selasa, 11 Oktober 2016

Sungai Ibok

          Saya ingin memulakan pengkisahan  tentang kehidupan awal saya yang berasal dari sebuah perkampungan kecil di dareh Kemaman, iaitu kampung Ibok. Sebuah perkampungan yang dihuni tidak sampai 300 penduduk berbangsa melayu serta beberapa keluarga berbangsa cina. Tidak ada seorangpun berbangsa india. Majoriti penduduk adalah para petani yang mengusahakan kebun sendiri serta penoreh getah yang bekerja di sebuah ladang getah milik seorang tauke cina. Pada masa itu, Ketua Kampung adalah tok saudara saya Othman@Komeng. Selain Tok Komeng, orang-orang yang boleh dikatakan tokoh kampung yang berpengaruh di kampung Ibok adalah Tok Hussin, juga tok saudara saya. Beliau adalah biras kepada Tok Komeng. Kedua-duanya juga boleh dikatakan orang kaya di kampung kerana memiliki rumah besar dan banyak kebun tanaman. Seorang lagi yang berpengaruh ialah Cikgu Ali Basir, seorang imam kampung yang berasal dari Sumatera, Indonesia. Semua peringkat di kampung, sama ada tua, muda, lelaki atau perempuan memanggilnya dengan panggilan cikgu. Cikgu Ali Basir dan isterinya, yang lebih mesra dipanggil Mak Su, Pasangan suami isteri ini adalah guru mengajar Quran bagi kebanyakan anak-anak Ibok pada masa tersebut. Walaupun sudah agak lama berhijrah dari Sumatera dan bermastautin di Ibok, namun Cikgu Ali Basir masih terikat dengan loghat Sumateranya hingga adakalanya menjadi ikutan atau mainan orang tempatan. Tok Sulaiman, tokki saya juga adalah salah seorang yang besar pengaruhnya di Ibok. Selain memiliki kaum keluarga yang agak besar dan dikenali, Tokki Sulaiman juga popular sebagai seorang bomoh dan juga nelayan sungai yang hebat.

          Pekan terdekat dengan Ibok, adalah Chukai, iaitu 'ibu kota' bagi daerah Kemaman. Sebagai pusat pentadbiran daerah, Chukai menjadi tempat tumpuan orang Ibok apabila mempunyai sebarang urusan berkaitan pejabat-pejabat kerajaan negeri. Tiba waktu dapat hasil jualan getah sebulan sekali, berpusu-pusulah orang Ibok menghilir ke Chukai dengan menaiki bas RIDA yang dipandu oleh Mat Lazim, bapa saudara saya. Tak lama selepas itu bas RIDA diganti dengan bas Syarikat Perusahaan Kenderaan Melayu kepunyaan Md Nor Taja. Bas tersebut berulang alik dari Ibok ke Chukai dua kali sehari melalui Simpang Paman. Pada masa tu belum ada lagi jalan yang melalui kampung Yakyah. Pada zaman tersebut belum ada lagi orang Ibok yang mempunyai motorsikal. Kalau adapun basikal saja, tapi untuk ke Chukai dengan berbasikal ianya sangat jauh, Budak-budak Ibok, bila berpeluang ke Chukai memanglah seronok tak terhingga kerana berpeluang bersiar-siar di bandar, tengok bangunan-bangunan batu dan banyak kereta lalu lalang. Kalau ada duit lebih, bolehlah tengok wayang sama ada di panggung Cathay yang terletak di Jalan Jakar  atau panggung Rex. Biasanya menjelang musim raya kami pasti berkunjung ke Chukai untuk membeli pakaian raya di kedai cina. Pasaraya belum ada lagi pada masa tu. Sebagai sebuah 'ibu kota', Chukai boleh dikatakan lengkap dengan segala kemudahan dan keperluan seperti sekolah menengah, hospital dan balai bomba. Yang agak janggalnya, Penghulu Hulu Chukai atau Ibok, pejabatnya terletak di Batu Satu, Chukai. Bukan main jauh bagi orang-orang Ibok kalau nak berurusan dengan Tok Penghulu Syed Mohamad.

        Berbicara tentang kampung Ibok, sudah pasti saya tidak boleh mengelak dari menyentuh tentang ikon atau 'mercu tanda' kampung Ibok iaitu sungai Ibok. Seingat saya, saya mula berkubang di sungai Ibok sebelum memasuki alam persekolahan lagi. Waktu itu, lewat 1960-an belum ada Tadika, khususnya di kampung Ibok, kampung kelahiran saya. Sesatunya tempat permainan utama di Ibok adalah sungai Ibok. Terdapat sebuah padang bola sepak di tepi sungai Ibok, tempat budak-budak dan orang dewasa lelaki bermain bola setiap petang. Saban tahun padang bola tersebut ditenggelami air sungai Ibok yang melimpah apabila tiba musim tengkujuh pada setiap hujung tahun. Sungai Ibok menjadi tempat tumpuan orang-orang Ibok dan juga orang luar yang berkunjung ke Ibok. Zaman tersebut belum ada kemudahan air paip. Justeru, semua penduduk bertumpu di sungai Ibok untuk mandi-manda, membasuh pakaian dan bermain air.  Tempat tinggal saya tak sampai 500 meter dari sungai Ibok. Begitu juga rumah-rumah sanak saudara saya keturunan Tokki Sulaiman, rata-rata berumah tidak jauh dari sungai Ibok. Apabila tiba musim banjir, pasti rumah kami turut dilimpahi air banjir. Walaupun begitu, banjir yang saban tahun melanda tidak sampai memusnahkan harta benda. Malah kehadiran banjir seolah-olah dinantikan oleh penduduk Ibok, terutamanya budak-budak seperti saya. Air banjir yang melimpah tambah menyeronokkan kami untuk berkubang seharian, belajar berenang dan paling menggembirakan kerana peluang untuk menangkap ikan-ikan sungai digunakan sepenuhnya. Barangkali ibu bapa kami tidaklah berfikiran seperti kami kerana kehadiran musim banjir bermakna mereka tidak dapat menoreh getah. Tatkala hujan mula reda dan air banjir surut, kegembiraan kami mula pudar. Kena tunggu setahun lagi untuk menikmati keseronokan bermain air bah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan