Khamis, 13 Oktober 2016

Sungai Ibok 4

     Walaupun zaman kanak-kanak saya ketika di Ibok telah empat dekad berlalu, namun gambaran masa lalu masih jelas terbayang dalam fikiran saya. Padang bola Ibok letaknya di tepi sungai, sebab itulah setiap kali tiba musim banjir, air bah akan melimpah dan menenggelamkan padang bola sepenuhnya. Banyak kali juga berlaku kes bola hanyut di sungai apabila sepakan pemain tersasar jauh hingga jatuh ke dalam sungai. Dek kerana kebosanan tidak dapat bermain bola, maka aktiviti seharaian orang lelaki Ibok bertukar dari bermain bola menjadi nelayan sambilan pula. Tatkala air mula surut walaupun padang masih separuh ditenggelami air, kami kembali ke padang bola. Di keliling padang bola kesayangan kami, terdapat banyak pohon kemunting. Buahnya yang masak hitam ranum menjadi rebutan burung-burung dan juga manusia. Pada masa itu ada orang yang suka kutip buah kemunting, malah ada yang menjual di pasar Ibok dengan menggunakan sukatan pot atau tin susu. Mak Long Seleoh, seorang penjaja dari Kijal pun ada kalanya menjual buah kemunting di pasar Ibok. Selain pohon kemunting, sekitar padang bola Ibok terdapat banyak pohon kercut dan mengkuang yang tumbuh meliar. Kercut dan mengkuang sering ditebas dan diambil untuk dibuat tikar.

    Dulu-dulunya saya sering menonton perlawanan bola persahabatan melibatkan pasukan kampung Ibok dengan kampung-kampung sekitar. Belum ada lagi liga atau kejohanan bola sepak di sekitar kampung Ibok. Pasukan yang selalu bermain dengan tim Ibok adalah Kijal dan Binjai. Ada kalanya tim Ibok menang dan begitu juga sebaliknya, Bila ada perlawanan bola, maka berpusu-pusulah penduduk Ibok tak kira usia dan jantina akan turun menonton perlawanan bola. Pemain-pemain pada masa tersebut adalah baya-baya ayah saya. Tetapi ayah saya tak pernah main bola, walaupun secara suka-suka. Pemain-pemain Ibok yang handal pada masa itu antaranya Che Aziz, striker utama. Walaupun dia tak laju berlari dan tak pantas dalam pergerakan tetapi dia ada kemahiran jaringkan gol. Perlawanan persahabatan bola antara kampung diadakan dalam 2 ke 3 bulan sekali. Seronok dan meriah seluruh kampung setiap kali ada perlawanan bola. Dari situlah menimbulkan minat yang mendalam dalam diri saya untuk menjadi pemain bola yang handal.  Ada juga berlaku pergaduhan sesama pemain semasa perlawanan persahabatan, Antara yang masih melekat dalam ingatan saya ialah semasa Ibok lawan Binjai dan Ibok lawan Kemasek.  Jarang sekali perlawanan persahabatan membabitkan tim Ibok dengan Kemasek diadakan kerana sering berlaku pergaduhan membabitkan kedua-dua pasukan. Tak tahulah mana satu yang salah. Sebagai penyokong tim Ibok, saya diwar-warkan bahawa tim Kemasek selalunya menjadi punca perkelahian.  Setiap kali tim Ibok menjadi tuan rumah sesuatu perlawanan, Pak Arif adalah pengadil rasmi dan tetap. Dia tak ada apa-apa kelayakan atau tauliahpun, tetapi bila dah biasa jadi pengadil maka akhirnya dia jadi pengadil tetap dan kebanggaan kami. Pak Arif atau nama penuhnya Che Wan Sharif bin Muda memang ada gaya sebagai pengadil. Dia sanggup berkorban wang dengan membeli pakaian pengadil serba hitam serta wisel.  Gelagat dan karenah Pak Arif selaku pengadil cukup mencuit hati para penonton. Pak Arif ni handal juga bersilat. Saya pernah saksikan dengan mata kepala saya sendiri tentang kebolehannya bersilat.  Ceritanya begini. Pada suatu petang, seperti biasa pemuda-pemuda Ibok bermain bola di padang. Waktu tu saya belum layak bermain dengan orang dewasa kerana masih di bangku sekolah rendah. Jadi, saya hanya menonton dari tepi padang. Dalam perlawanan sesama sendiri itu, berlaku satu insiden perlanggaran antara pemain pertahanan dengan penyerang. Menyebabkan pemain pertahanan iaitu Bakar, anak Pak Wel tercedera. Berlaku pertengkaran mulut antara kedua pihak. Saya sangkakan setelah dileraikan, insiden itu berakhir di situ saja, tetapi sebaliknya tidak. Ketika semua orang telah bersurai dan balik ke rumah masing-masing, saya berjalan pulang melewati depan kedai Ah Kau, berjalan di belakang Pak Arif yang sedang dalam perjalanan balik ke rumahnya. Tiba-tiba saya nampak Pak Wel meluru ke arah Pak Arif dengan membawa sebatang kayu hendak memukul Pak Arif. Saya tergamam dan tercegat saja. Serangan Pak Wel dengan mudah dipatahkan oleh Pak Arif. Dia membuka langkah silatnya dan dengan pantas mengilas tangan Pak Wel. Namun, Pak Arif tak membalas atau memukul Pak Wel. Mujurlah Tok Him Polis sempat meluru dari kedainya dan meleraikan pergaduhan dari merebak menjadi lebih buruk. Pak Him Polis menenangkan kedua mereka. Walaupun pergaduhan tersebut dapat dileraikan, namun permusuhan kedua mereka sebenarnya melarat menjadi permusuhan keluarga dan berlarutan dalam jangka masa yang lama.

  Apabila bapa saudara saya, Ayah Da Muda berpindah ke Pondok Limau bersama-sama Tokki Sulaiman, saya tidak lagi dapat bersama Tokki Sulaiman turun menangkap ikan di sungai Ibok. Namun, aktiviti menangkap ikan saya teruskan seorang diri atau bersama-sama kawan-kawan secara suka-suka saja. Tapi hasilnya tidaklah seperti dulu lagi. Setelah keluarga saya turut berpindah ke Pondok Limau beberapa tahun kemudian, barulah saya kembali bersama Tokki Sulaiman turun ke sungai Pondok Limau untuk mengail udang galah dan ikan bujuk.  Tetapi, sungai Pondok Limau pada saya tidak seseronok sungai Ibok. Sungai Pondok Limau airnya kehitaman dan berbuih serta menyeramkan bagi saya. Tambahan pula dengar ceritanya ada buaya mendiami lubuk dekat jambatan sungai Pondok Limau. Setiap kali turun berperahu di sungai Pondok Limau perasaan takut sentiasa menyelubungi hati saya. Walaupun telah menetap di Pondok Limau, sungai Ibok tetap di hati.

2 ulasan:

  1. bila nak sambung cerita pasal pondok limau pulok?

    BalasPadam
  2. lambat lagi...Ibok dulu...watak Emi, Ju dan Saiful takleh muncul lagi...

    BalasPadam